Teoh Beng Hock - DAP Salahguna Kuasa - Suruhanjaya DiRaja.

KUALA LUMPUR 23 Julai – Suruhanjaya Diraja Untuk Menyiasat Kematian Teoh Beng Hock yang dianggotai lima ahli golongan professional, berpendapat parti politik tidak boleh terlibat dalam memberikan bantuan kewangan sebagaimana yang dilakukan oleh DAP bagi program di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Kembangan sekitar 2008 dan 2009.
 
Lima anggota panel suruhanjaya itu ialah Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri James Foong Cheng Yuen; bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Kadir Sulaiman; bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk T. Selventhiranathan; Pakar Perunding Patologi Forensik Hospital Pulau Pinang, Datuk Dr. Bhupinder Singh dan Pakar Perunding Psikiatri Forensik dan Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya, Prof. Dr. Mohamed Hatta Shaharom.
 
Ia berikutan peruntukan bagi program itu dikeluarkan daripada belanjawan kerajaan negeri yang sepatutnya dibelanjakan untuk penduduk di kawasan tertentu.
Berdasarkan laporan suruhanjaya setebal 124 muka surat yang disediakan oleh lima panel suruhanjaya itu, tindakan sedemikian juga telah mengundang tuduhan dan pandangan serong apabila pembayaran semula wang itu kelihatan seperti penyaluran dana kepada parti politik tersebut.
 
''Kami mendapati agak aneh apabila pihak yang terlibat dalam proses ini tidak dapat menghalang parti politik daripada terlibat dalam projek kerajaan.
''Kami juga tidak memahami mengapa seorang kontraktor yang bersetuju menganjurkan sesuatu program atau menjalankan sesuatu projek memerlukan bantuan kewangan daripada sesebuah parti politik.
''Pastinya siapa yang menjalankan perniagaan mempunyai modalnya sendiri atau membuat perkiraan bagi perkara tersebut,'' lapor suruhanjaya berkenaan.
Berdasarkan keterangan kontraktor, Lee Wye Wing berhubung program dan projek kecil bagi kawasan DUN Seri Kembangan, suruhanjaya mendapati wujud kelemahan dari segi prosedur berikutan tiada sebut harga dikemukakan untuk kelulusan.
 
Walaupun Wye Wing yang menggunakan nama syarikat bumiputera Kelas F untuk mendapatkan projek kecil, mengaku memenuhi setiap spesifikasi sesuatu projek, namun tiada siapa mengesahkan sama ada barang dan perkhidmatan yang dibekalkan mengikut nilai yang dituntut.
Berhubung resit yang dikeluarkan oleh DAP bagi pembayaran balik wang yang didahulukan, menurut suruhanjaya berkenaan, tiada satu resit pun yang dikemukakan oleh saksi itu sepadan dengan jumlah wang pendahuluan tersebut.
 
Suruhanjaya juga berpendapat anak saudara Wye Wing, Lee Kee Hiong memberi kenyataan bercanggah apabila memaklumkan Beng Hock memberikan pendapat sesetengah bahan dikenakan bayaran melampau sedangkan beliau tidak berbincang mengenai kos bagi setiap program.
 
Walaupun Kee Hiong yang merupakan Pengurus Besar ibu pejabat DAP Malaysia dari tahun 2003 dan 2008 serta ahli DAP yang aktif mendakwa tidak merayu untuk mendapatkan projek kecil dan program kawasan tersebut, rekod menunjukkan kebanyakan projek dan program diberi kepada syarikat milik Wye Wing, WSK Services atau syarikat rakan bapa saudaranya, Hong Chae Enterprise.
 
''Kami percaya sementara Wye Wing menguruskan kertas kerja, Kee Hiong menjalankan tugas persediaan seperti mendapatkan pembekal, memastikan kehadiran peserta dan mengatur perkhidmatan serta publisiti bagi program berkenaan.
''Apabila Ean Yong Hian Wah (Ahli DUN Seri Kembangan) mempunyai idea, bagi sesuatu program beserta bajet, dia akan dihubungi dan dia akan cuba mengadakan keperluan berkaitan mengikut jumlah yang diperuntukkan,'' menurut suruhanjaya berkenaan.
 
Seorang lagi kontraktor, Mohd. Harun Abdullah, pula mengaku berpakat dengan Wye Wing supaya sebilangan syarikat kontraktor bumiputera kelas F digunakan untuk menjalankan projek kecil di bawah peruntukan ADUN.
 
Pemilik syarikat terbabit hanya akan menandatangani cek kosong yang diberikan kepada beliau dan Wye Wing serta sebagai balasan mereka akan menerima komisen antara lima dan 10 peratus daripada nilai setiap projek.


FOLLOW and JOIN to Get Update!

Social Media Widget SM Widgets




Demo Blog NJW V2 Updated at: 10:51 PM

0 Komen:

Post a Comment

Popular