Kutipan Filem Hantu Bonceng Melepasi RM5 Juta 5 Hari Tayangan

 
KUALA LUMPUR – Hantu Bonceng, filem ke-23 karya pengarah terkenal, Ahmad Idham Ahmad Nadzri,  mencipta sejarah kutipan tiket terbesar pada musim perayaan dengan jumlah RM5 juta dalam tempoh lima hari tayangan dengan purata kutipan tiket sebanyak RM1 juta untuk setiap hari tayangan.
 
Filem yang dibintangi oleh Zizan Razak, Juliana Evans, Jue Aziz, Dottie, Tai dan Zahid AF itu mula ditayangkan pada 31 Ogos lalu di 80 pawagam secara serentak di seluruh tanahair, Singapura dan Brunei.
 
"Saya juga menyeru kepada semua pihak yang belum mahu pun yang sudah menonton Hantu Bonceng, untuk pergi ke pawagam, bersama teman-teman dan sanak saudara di Aidilfitri ini, untuk menonton filem ini.
 
"Hantu Bonceng adalah sebuah komedi ringan yang mempunyai mesej serta mampu mengeratkan perhubungan di antara rakan taulan dan saudara," kata Ahmad Idham melalui kenyataan media  di sini hari ini.
 
Sehubungan itu, syarikat yang bertanggungjawab menerbitkan filem tersebut, Excellent Pictures dan Ahmad Idham, mengucapkan jutaan terima kasih di atas sokongan semua pihak dalam mencipta sejarah perfileman tanah air.
 
Ucapan terima kasih juga ditujukan khas kepada seluruh peminat dan penonton yang tidak putus memberi sokongan dengan menonton Hantu Bonceng di pawagam yang membantu produksi mencapai jumlah kutipan tiket sebanyak RM5 juta, di mana dianggarkan lebih 500,000 penonton telah menonton filem itu di pawagam.
 
Selain mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak media yang membantu mempromosikan filem Hantu Bonceng, pihak produksi juga merekodkan penghargaan kepada para pelakon yang sentiasa memberikan komitmen di sepanjang pembikinan filem tersebut
"Selain itu, sekali lagi, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua penonton dan peminat, dan diharapkan sokongan yang diterima berterusan untuk memastikan 'Hantu Bonceng' mampu melakarkan satu lagi sejarah perfileman tempatan, dan kita akan dapat berbangga dengan produk filem sendiri," tambahnya lagi.
 
Hantu Bonceng masih lagi hangat berdesup 'membonceng' di 80 pawagam tanahair, Singapura dan Brunei, dengan kebanyakkan pawagam dibanjiri penonton yang ingin mendapatkan tiket.
 
Untuk mengelak dari sebarang kesulitan untuk mendapatkan tiket, para peminat dan penonton dinasihatkan agar membuat tempahan awal, samada melalui pembelian kaunter mahupun menerusi aplikasi dalam talian pawagam terpilih.

No comments:

Post a Comment