Yusry Tidak Kekok Berlakon Dengan Bakal Isteri

 
 
Pengarah dan pelakon, Yusry Abdul Halim tidak berasa kekok digandingkan dengan bakal isterinya, pelakon Lisa Surihani dalam filem terbaru terbitan KRU Studios,Ular.
 
Yusry berkata, di dalam filem tersebut dia memegang watak sebagai jurukamera manakala Lisa sebagai wartawan dan bukan berperanan sebagai pasangan kekasih.
 
"Soal kekok tidak timbul kerana kami tahu untuk membatasi soal profesional dan peribadi dalam kerja. Jadi saya tidak merasakan berlakon bersama akan membawa masalah," ujarnya ketika kepada mStar Online.
 
Ular arahan Jason Chong mengisahkan Myra (Lisa Surihani) seorang wartawan jenayah yang digantung kerja telah diarahkan untuk membuat liputan di sebuah pusat peranginan di sebuah pulau.
 
Myra yang ditemani jurukameranya, Remy (Yusry) tidak pernah menyangka tugasannya kali ini bukanlah satu tugasan biasa apabila percutian hebat yang dimenangi oleh 10 orang pemenang cabutan bertuah bertukar menjadi sebuah mimpi ngeri.
 
Dalam pada itu, ditanya adakah dia akan mengambil peluang untuk mengenali bakal isterinya setelah dapat bekerja dan menghabiskan masa bersama-sama, Yusry berkata dia tidak perlu berbuat demikian kerana telah mengenali hati budi pasangannya itu.
 
Yusry berkata, Lisa juga telah cukup mengenalinya secara peribadi dan profesional apabila sering melawatnya di lokasi penggambaran filem Vikingdom.
 
"Rasanya kami tidak perlu menjadikan peluang berlakon bersama-sama ini sebagai peluang untuk mengenali hati budi masing-masing kerana telah pun memahami antara satu sama lain," ujarnya.
 
Sementara itu, Yusry berkata dia mengambil keputusan untuk berlakon dalam Ular bukan kerana bakal isterinya tetapi merasakan skrip dan jalan cerita filem itu yang menarik dan berbeza.
 
Tambahan pula katanya, dia tetap akan berada di lokasi penggambaran di Pulau Pangkor jika tidak berlakon dalam filem itu kerana terlibat sama bagi membantu Jason dari segi aspek visual kesan khas.
 
"Kali terakhir saya berlakon adalah filem Cicakman dan terbuka hati nak berlakon filem ini kerana jalan cerita dan skrip yang berbeza.
"Hampir seminggu juga saya memikirkan tawaran berlakon ini sebelum membuat keputusan," ujarnya.

No comments:

Post a Comment